Perlahan dia membuka mata, namun sekelilingnya terasa berpusing-pusing membuatkan dia segera menutup kembali matanya. Kepalanya terasa berat dan pening. Tangan kirinya di arahkan memicit-micit kepalanya. Namun seketika kemudian, terasa sesuatu yang sejuk tiba-tiba diletakkan di dahinya membuatkan derita yang ditanggungnya sedikit berkurang.
"Sakit lagi?" soal suara itu. Dia kembali membuka matanya. Aqiem sedang duduk di sisinya sambil tersenyum. Berkerut-kerut keningnya cuba memikirkan kembali apa yang telah berlaku padanya malam tadi. Aku langsung tak ingat apa-apa.
"Okay sikit. Aku dekat mana ni?" soalnya sambil cuba untuk bangun. Namun Aqiem terlebih dahulu menghalangnya. Dia merebahkan semula tubuhnya ke katil.
"Baring lah dulu. Tak boleh terus bangun. Kau ada dekat rumah aku. Semalam kau mabuk teruk. Terpaksa bawa kau ke sini. Aku takut papa kau marah kalau nampak kau dalam keadaan semalam" ujar Aqiem menerangkan situasi sebenar.
Tengku Dzafril Haidhar menarik nafas panjang. "Dia tak ada. Pergi Jepun. Thanks sebab bawa aku ke sini" ujarnya sambil mengalihkan bungkusan ais dari dahinya setelah dirasakannya sakit kepalanya sudah berkurangan. Sejenak kemudian kedengaran pintu bilik dikuak membuatkan pandangannya beralih ke arah pintu. Zaqrul masuk ke bilik itu sambil tersenyum memandangnya.
"Kau dah okay belum. Kalau dah okay jom lah keluar. Aqiem dah beli sarapan" ujar Zaqrul sambil tersengih.
"Kau pun ada dekat sini, Rul?" soal Tengku Dzafril Haidhar agak hairan.
Aqiem ketawa kecil melihat Tengku Dzafril Haidhar yang seolah orang kebingungan itu. Semua tak ingat nampaknya. "Kau muntah dekat baju dia semalam. Terpaksa dia mandi dan tidur dekat sini nak tunggu baju dia kering" terangnya.
Zaqrul dilihatnya kini hanya berbaju T-shirt dan kain pelikat. Mula terasa bersalah. Dia bangun perlahan-lahan sebelum duduk dan bersandar "Sorry ar weh. Aku menyusahkan korang semalam" ujar Tengku Dzafril Haidhar kembali.
Wajah sahabatnya itu kelihatan cukup kusut. Zaqrul tersenyum. "Alah lepaklah. Takkan kita orang nak biar kau pula dekat situ kan. Dah dah. Tak payah nak buat muka bersalah sangat. Jom keluar. Sarapan. Aku dah lapar ni" ujarnya sambil menepuk-nepuk perutnya.
Tersenyum tawar. "Kau orang keluar dulu. Aku nak basuh muka" ujar Tengku Dzafril Haidhar. Dia bersyukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang memahami seperti mereka. Aqiem dan Zaqrul sudahpun berlalu keluar dari bilik itu, meninggalkannya sendirian. Kalau dia orang tak ada malam tadi, tak tahu lah apa jadi dekat aku, fikirnya.
Usai membasuh mukanya, baru dia perasan baju yang dipakainya itu bukanlah baju miliknya. Begitu juga seluar. Hah? Mana pakaian aku? Bulat matanya apabila menyedari seseorang telah bertindak menukarkan pakaiannya dalam keadaan dia tidak sedar. Segera dia berjalan keluar dari bilik itu mendapatkan kedua rakannya.
"Kau ni agak-agaklah doh! Kedekut gila dengan aku" kedengaran suara Zaqrul apabila pintu bilik dikuak. Kedua-dua sahabatnya sedang berebutkan sesuatu namun dia malas mahu mengambil tahu. Aqiem menoleh ke arahnya sambil tersenyum.
"Zaf! Mari sini duduk" panggil Aqiem.
Tengku Dzafril Haidhar menelan air liurnya sambil berjalan menghampiri mereka berdua. "Errr, siapa yang tukarkan baju aku semalam?" soalnya sedikit malu. Duduk di hadapan Aqiem yang sedang meletakkan pinggan di hadapannya.
Ketawa kecil sebaik sahaja mendengar soalan yang diajukan oleh sahabatnya itu. "Baju kau pun bau arak dah kot. Aku tukarlah. Alah! Aku tak ada buat benda-benda lain lah. Kau jangan risau" ujar Aqiem berseloroh membuatkan Zaqrul serentak ketawa terbahak-bahak memandang wajah Tengku Dzafril Haidhar yang pucat.
"Dia risau keterunaan dia dicabul. Dahlah! Baik kau makan" balas Zaqrul pula.
Tengku Dzafril Haidhar sekadar tersengih malu. Dia memang lapar pun. Sejak semalam aku tak jamah makanan lagi. "Lapar weh" ujarnya sebelum menyuap makanan ke mulutnya.
"Woi! kau dah baca doa belum!" pekik Zaqrul tiba-tiba.
"Terkejut aku kau tiba-tiba jerit" marah Aqiem. Zaqrul sekadar ketawa melihat wajah terkejut Tengku Dzafril Haidhar.
"Aku baca bismillah dalam hati" jawabnya sambil ketawa. Suasana meriah sebegitu tidak pernah dikecapinya ketika berada di rumah. Selalunya dia hanya makan bersendirian. Berlainan ketika berada di rumah Aqiem. Pasti ada sahaja lawak yang muncul dari mulut mereka. Buat beberapa ketika mereka masing-masing berdiam diri menikmati sarapan masing-masing.
"Zaf, aku nak tanya sikit boleh?" soal Aqiem tiba-tiba membuatkan Tengku Dzafril Haidhar berhenti menyuap. Dia mendongak lalu memandang wajah serius Aqiem.
"Apa dia?" soalnya hairan. Sempat dia memandang wajah Zaqrul yang kini turut memandangnya dengan pandangan serius.
"Betul ke kau dah bertunang?" soal Aqiem meminta kepastian.
Serentak membuatkan Tengku Dzafril tersedak apabila perkataan 'tunang' disuarakan dari mulut Aqiem. Cepat-cepat dia mencapai air di hadapannya sebelum meneguk. Agh, tak ada soalan lain ke dia orang ni nak tanya? Marahnya di dalam hati.
"A'ahlah. Semalam kau cakap kau dah bertunang. Betul ke?" soal Zaqrul yang juga bertanyakan soalan yang sama membuatkan Tengku Dzafril Haidhar terdiam sejenak mula berfikir jawapan untuk diberikan kepada mereka. Akhirnya dia mengangguk perlahan tanda mengiyakan kenyataan itu.
"Buat masa sekarang, memang aku tunang dia tapi aku akan cari jalan untuk putuskan pertunangan tu" ujar Tengku Dzafril Haidhar tegas. Tak mungkin aku nak kahwin. Apatah lagi dengan perempuan yang aku langsung tak kenal.
"Eh kenapa?" soal Zaqrul yang jelas bingung dengan kata-kata Tengku Dzafril Haidhar itu.
"Haaa aku tau. Mesti tunang kau tu tak cantik kan? Tu pasal lah kau tak nak" sampuk Aqiem. Atas sebab apa lagi Tengku Dzafril Haidhar ingin menolak? Lelaki itu sudah biasa dikelilingi gadis-gadis cantik. Tengok je lah selama ni. Awek dia semua model, pramugari, pelakon. Jelas-jelas lelaki itu seorang yang memandang rupa.
"Aku tak pernah jumpa dia pun lah" balas Tengku Dzafril Haidhar membuatkan Aqiem terdiam memandangnya hairan.
"Habis? Tak pernah jumpa macam mana boleh tunang? Aku tak faham" soal Zaqrul.
"Papa aku yang tunangkan aku dengan perempuan tu. Bukan atas persetujuan aku. Aku tak pernah jumpa dia setakat ni"
"Kalau dia cantik macam mana? Kau nak lepaskan ke perempuan cantik?" uji Aqiem.
"Walaupun dia tu cantik macam bidadari pun, jangan haraplah aku nak dengan dia" ujar Tengku Dzafril Haidhar penuh yakin.
"Fuh, gilalah kau ni. Kalau dia cantik gila pun tak nak. Sekarang cakap boleh lah, Zaf. Cuba nanti dah tengok dia depan-depan. Haa masa tu barulah kau tahu. Mampu ke tak, nak cakap besar macam ni" ujar Aqiem sebelum menoleh ke arah Zaqrul. “Eh Rul, kau kalau perempuan cantik kau nak kahwin tak Rul?” soalnya lagi.
"Eh mestilah nak! Tapi kalau cantik pun, perangai gedik. Tak guna. Aku anti betul la perempuan gedik-gedik ni" balas Zaqrul.
"Haa, tahu tak apa. Aku setuju dengan kau Rul. Aku pun tak suka jugak" sokong Tengku Dzafril Haidhar.
Faqrul menoleh ke arah Tengku Dzafril Haidhar. "Poyo je lebih mamat ni. Habis awek-awek kau yang selama ni bukan gedik ke? Tu siapa hari tu, Tasya tu. Tengok kuku dia pun aku dah seram. Mesti jenis tak reti buat kerja rumah tu" ujarnya. Tengku Dzafril Haidhar sekadar ketawa mendengar kata-katanya.
"Tunang kau tu, budak KL juga ke? Kaya?" soal Aqiem.
"Anak Dato'. Rasanya anak kepada kawan papa aku"
"Oh anak Dato'. Okaylah tu dengan kau. Apasal kau tak pernah jumpa dia? Kata kawan papa kau. Eh silap.... Anak kawan papa kau" soal Aqiem.
"Dia tinggal London before ni. Baru balik sini" ujar Tengku Dzafril Haidhar. Seingatnya dia pernah beberapa kali datang ke rumah Dato' Qamal menemani papanya. Ketika itu dia diberitahu anak tunggal perempuan sahabat baik papanya itu masih menetap di luar negara. Agh. Bukan aku kisah pun pasal semua tu.
"Kira half minah salleh lah tunang kau ni. Eceh, kita ni dah masuk bab interview tunang Zaf pula. Sorry Zaf. Nak kenal-kenal je. Tak ada niat lain" ujar Zaqrul sengaja mengusik Tengku Dzafril Haidhar. Aqiem turut ketawa. Serentak dilihatnya lelaki itu menarik muka masam apabila dirinya menjadi bahan gurauan.
"Apa benda korang ni" ujar Tengku Dzafril Haidhar. Malas mahu melayani karenah rakan-rakan baiknya itu.
"Yelah, takutlah kau marah, kita orang banyak tanya pasal tunang kau tu" ujar Aqiem pula semakin galak mengusik. Ketawa memandang wajah serius Tengku Dzafril Haidhar.
"Tak ada pasallah aku nak marah. Sikit pun aku tak ambil peduli pasal dia. Yang penting, aku tak akan kahwin dengan perempuan tu" jawabnya penuh yakin.
Zaqrul berhenti ketawa sebelum menarik nafas panjang. "Aku peliklah dengan kau ni, Zaf. Apasal kau anti sangat dengan perkahwinan? Aku rasa, semua orang nak kahwin, kau je tak nak" ujarnya.
Soalan Zaqrul itu membuatkan dia terdiam seketika. Pinggan yang telah kosong itu ditenungnya lama sebelum perlahan dia mengeluh. "Kau orang lain. Aku lain. Hidup kau orang tak sama macam aku. Bagi aku, perkahwinan tu cuma satu konsep yang nak mengikat orang. Aku sukakan hidup bebas. Tak suka hidup terikat macam tu. Komitmen? Bukan cara hidup aku" balas Tengku Dzafril Haidhar.
"Tak elok kau cakap macam tu, Zaf. Nabi tak mengaku umat, orang yang tak nak berkahwin. Lagipun, aku tak rasa perkahwinan tu satu konsep macam kau cakap. Perkahwinan tu satu jalan nak bergaul dengan perempuan secara halal. Dengan jadikan dia isteri yang sah" ujar Aqiem pula menyuarakan pendapatnya pula.
"Apa yang pernah jadi dekat aku selama ni buat aku rasa tak percaya dengan perkahwinan. Kau orang pun tahu pasal parent aku, keluarga aku macam mana. Sebab tu aku rasa, perkahwinan bukan satu keperluan dalam hidup aku" balas Tengku Dzafril Haidhar lagi.
"Memanglah Zaf. Bagi kau sekarang benda tu tak penting. Kau ada semua. Dengan rupa dan harta memang boleh buat ramai perempuan gilakan kau. Tapi sampai bila kau nak hidup macam ni. Takkan sampai ke tua?" ujar Aqiem sebelum bangun membawa pinggannya ke dapur meninggalkan Tengku Dzafril Haidhar dan Zaqrul.
Dia tahu Aqiem tidak suka dengan sikap lelaki itu yang tidak pernah serius dalam hubungannya bersama perempuan. Seringkali melihat Tengku Dzafril Haidhar dengan gadis berlainan. Perlahan dia tersenyum sendiri memandang sahabatnya yang masih kaku di tempatnya. "Nama dia kau tahu?" soal Zaqrul cuba menukar sedikit arah perbincangan. Tidak mahu kelihatan terlalu serius.
“Larra” sebaris nama itu meniti di bibirnya.
***
Pagi-pagi lagi dia sudah mendaftar keluar dari Pandan Indah Hotel setelah satu malam menginap di situ. Kini dia pasti, mama dan papanya sudah sedar kehilangannya. Aku tak boleh lama-lama tinggal dekat hotel ni, bingkisnya sambil terus melangkah laju. Namun kemudian, langkahnya terhenti.
“Tapi aku nak tinggal dekat mana lagi lepas ni?” soalnya sendiri sebelum mengeluh. Dia mendongak memandang kepulan-kepulan awan di langit. Cuaca yang agak terik membuatkan dia terasa bahangnya. Pening kepalanya memikirkan tentang masalah yang melanda kini.
Kad di tangannya dimasukkan ke dalam mesin ATM. Permintaannya untuk mengeluarkan duit telah ditolak. Berkerut dahinya. "Apasal kad bank aku ni?" soalnya hairan sambil mencuba sekali lagi namun hasilnya tetap sama. Serentak dia teringat kembali kata-kata papanya ketika mereka bertengkar tempohari.
“Semua visa, pasport dan segala aset kamu dalam bank, dah dibekukan. You can't go out from this country anymore!" Kata-kata tegas papanya kembali bemain-main di telinganya. Dia menarik nafas panjang sambil memejam erat matanya. Mencuba untuk menenangkan dirinya.
"Jadi papa betul-betul bekukan aset aku” keluhnya perlahan sambil berjalan keluar. “Ya allah, aku nak ke mana ni? Duit aku pun tinggal berapa je dekat wallet" ujarnya perlahan. Fikirannya kusut memikirkan nasibnya kini. Duit yang ada hanya tinggal beberapa ratus sahaja. Nak bayar tidur hotel, nak makan. Mana cukup duit ni? Perlahan wajahnya diraup. Buntu mencari jalan penyelesaian.
Dia sudah hilang arah tujuan. Kemana kakinya melangkah, ke situ tubuhnya dibawa sebelum akhirnya berhenti di perhentian bas berdekatan bagi berteduh dari rasa bahang terik mentari. Punggungnya dilabuhkan, duduk tidak jauh dari seorang wanita yang agak berumur. Mungkin lebih tua dari mama. Kedengaran wanita itu batuk-batuk membuatkan dia mula terasa kasihan. Bunyinya perit sekali.
Namun masalah yang ditanggungnya lebih perit. Dia kembali mengelamun jauh cuba memikirkan jalan penyelesaian. Tanpa duit, tak mungkin aku nak berkeliaran dekat luar macam ni. Bahaya, fikirnya sendiri sebelum mengeluh perlahan. Tertunduk lemah.
"Aaa!! Tolong! Peragut! Tolongg!! Duit akuuuu!"
Suara wanita tiba-tiba menjerit membuatkan Larra tersedar dari lamunannya. Peragut itu dilihatnya berlari terus ke arah motor yang ditunggu oleh rakannya tidak jauh dari situ sambil menjinjing beg. Sempat dia menghafal nombor flat pada kenderaan beroda dua itu yang kini sudah bergerak laju meninggalkan mereka. Kes ragut itu menyebabkan kawasan itu menjadi riuh rendah buat seketika. Ada beberapa lelaki warganegara asing yang turut berada situ cuba mengejar namun tidak berjaya.
Larra bangun sebelum duduk di sisi wanita itu. "Mak cik, barang apa yang hilang?" soalnya bimbang.
Dikesat air matanya dengan hujung lengan baju kurungnya yang telah lusuh sebelum memandang ke arah gadis muda di hadapannya itu. "Beg tangan mak cik. Dalam tu semua barang penting ada. IC dan duit ada dalam tu" rintih Mak Munah. Macam manalah aku nak balik dengan duit tak ada.
Rasa kasihan pula melihat wanita itu menangis. Masalah yang melanda dirinya terpaksa dilupakan seketika. "Mak cik janganlah bimbang. Lebih baik, kita pergi buat laporan polis sekarang sebelum terlambat" cadang Larra. Beberapa orang di situ turut bersetuju dengan cadangannya.
Berkerut dahinya memandang gadis muda yang ingin menolongnya itu. "Mak cik dah tak ada duit. Nak balik pun tak tahu macam mana. Duit habis semua dalam tu” beritahu Mak Munah. Dia masih ketakutan memikirkan beg tangannya yang baru diragut sebentar tadi.
Larra memegang perlahan bahu wanita itu. "Tak apa. Soal duit tu tak payah risau. Mak cik boleh guna duit saya dulu. Yang penting kita lapor sekarang" pujuknya. Wanita itu kelihatan teragak-agak.
"Betul tu mak cik. Lebih baik mak cik pergi ke balai polis cepat. Biar dapat tangkap peragut pun cepat. Lagipun Cik ni nak bantu. Eloklah terima sahaja. Kalau tak ada duit, saya ada. Boleh kasi mak cik" sokong seorang lelaki warga India. Larra tersenyum sebelum mengangguk memandang ke arah wanita tua itu. Cuba untuk meyakinkannya. "Saya ikhlas nak bantu. Bas pun dah datang. Mari saya temankan mak cik ke balai polis" ujar Larra.
***
Dia memimpin tangan wanita yang dikenali sebagai Mak Munah itu menyeberangi jalan. Laporan telah dibuat, dan dalam masa terdekat sekiranya suspek berjaya dikesan, pihak polis telah berjanji untuk menghubungi Mak Munah secepat mungkin.
"Terima kasihlah sekali lagi ya nak sebab bantu mak cik" ujar Mak Munah. Matanya kembali berair. Terharu dengan pertolongan yang diberikan gadis muda itu.
"Tak apa. Saya tak kisah pun. Mak cik tinggal dekat Cheras kan. Gunalah duit saya dulu. Ni duitnya" ujar Larra sambil menghulurkan sekeping not RM20.
"Eh, ya Allah. Banyaknya mak cik berhutang dengan anak ni. Tak sedap hati lah mak cik macam ni, Cik Adlea" ujar Mak Munah.
Memang sengaja Larra membahasakan dirinya sebagai Adlea. Dia tidak mahu dirinya dikenali sebagai Larra. "Tak perlu mak cik. Saya tak minta bayar balik. Saya tolong ikhlas. Mak Cik panggil saya Lea je. Tak payahlah ber cik cik" ujarnya sambil tersenyum.
Tersenyum. "Terima kasih banyak-banyak. Tuhan je lah yang mampu balas kebaikan Lea. Macam nilah, beri alamat Lea. Biar nanti bila mak cik dah dapat duit, mak cik datang pulangkan pada Lea" ujar Mak Munah.
Larra terdiam seketika. Arah tuju aku sekarang pun tak tahu ke mana? Lagi nak beritahu alamat. Dia tersenyum tawar sambil memegang perlahan tangan Mak Munah. "Erm, tak payahlah mak cik. Saya tak...tak perlukannya. Saya tolong mak cik ikhlas" ujar Larra.
“Kenapa pula? Bagi je lah alamat. Setidak-tidaknya ada masa nanti bolehlah mak cik balas budi Lea" pujuk Mak Munah lagi masih berkeras inginkan alamat. Dia tidak mahu hilang jejak gadis itu. Apa yang penting, dia mahu membalas budi semula.
Dia menarik nafas dalam sebelum melepaskannya kembali. Tertunduk lemah. "Rumah saya dekat Ampang. Tapi sa..saya sebenarnya lari dari rumah. Saya tak tahu nak tuju ke mana" ujar Larra berterus terang
Mak Munah terkedu mendengar jawapan gadis itu. Berkerut-kerut dahinya."Lari dari rumah. Kenapa?' soalnya hairan.
Tersenyum tawar. Sukar untuk dia menceritakan hal peribadi kepada orang asing. "Erm, biasalah Mak Munah. Ada salah faham sikit dengan keluarga” jawabnya. Dia tidak mahu bercerita lebih-lebih.
Mak Munah memandang lama wajah gadis di sisinya itu. “Kenapa sampai lari dari rumah? Tak boleh berbincang dulu ke dengan keluarga Lea?”
Cuba menahan sebak yang mula terasa di dada. Memikirkan bagaimana papa dan mama sanggup membuat keputusan tanpa persetujuannya, membuatkan dia merasa sedih tiba-tiba. Dia gagal mengawal perasaannya. “Keluarga saya cuba jodohkan saya dengan pilihan mereka. Saya terpaksa larikan diri bila keluarga saya berkeras dengan keputusan mereka” ujar Larra tanpa sedar menceritakan hal sebenar pada wanita itu.
Rasa kasihan pula melihat nasib Adlea. Bukankah zaman telah moden? Jadi kenapa masih wujud isu kahwin paksa. Namun, dia yakin gadis itu seorang yang baik. Kalau gadis itu jahat sudah lama dia ditipu. Walau bagaimanapun, dia terhutang budi pada Adlea. “Habis tu, Lea nak tinggal dekat mana sekarang?” soal Mak Munah kembali.
Larra mengetap bibirnya sebelum mengeluh perlahan. "Saya pun tak tahu nak tinggal mana buat sementara waktu ni. Tengoklah, mungkin di rumah-rumah tumpangan kot" ujarnya kembali. Cuma itu sahaja jalannya kini. Dia tidak punya banyak duit dan dia perlukan tempat penginapan. Mungkin rumah tumpangan lebih sesuai buat dirinya kini.
"Eh jangan. Bahaya. Seorang-seorang pula tu. Lea tu perempuan” ujarnya sebelum tertunduk seketika. Cuba memikirkan jalan penyelesaian bagi membantu gadis itu. “Macam ni lah. Mak cik percaya Lea ni orang baik-baik. Jadi mak cik tak kisah kalau Lea nak ikut mak cik balik. Setidaknya, Lea ada tempat tinggal yang selamat" saran Mak Munah membuatkan Larra terkedu. Dia tidak pasti sama ada ingin ikut atau tidak wanita itu. Baru sahaja berkenalan, takkan aku nak ikut dia pula.
“Tak apalah. Saya tak nak menyusahkan mak cik"
Berkerut dahi Mak Munah mendengar jawapan gadis itu. "Laa, menyusahkan apanya? Lea dah tolong mak cik hari ni. Jadi, bagilah peluang mak cik nak tolong Lea balik"
Perfectly Halal! [Bab 21 & Bab 22]
4 years ago
0 comments:
Post a Comment