Friends

Antara mahligai ego dan cinta 2

Saturday, 3 September 2011
"Cik....Cik. Bangun Cik"

Larra membuka matanya apabila dirinya dipanggil. Dilihatnya kini Pak Mat sedang tersenyum memandangnya. Dia menggeliat kecil sebelum membetulkan duduknya dan memandang ke sekeliling. Tubuhnya benar-benar letih.

"Dah sampai dah Cik" ulang Pak Mat. Wajah Larra tampak lesu. Mungkin kepenatan.

Perlahan tubuhnya dibawa keluar dari perut kereta. Sempat dia memerhati suasana sekeliling rumah yang pernah ditinggalkannya. Banglo dua tingkat itu masih sama seperti dahulu. Tidak banyak yang berubah. Peristiwa lama kembali bermain-main di fikirannya mula mencuit kenangan yang telah lama dia tinggalkan. Satu keluhan berat dilepaskan sebelum menoleh sekilas ke arah Pak Mat yang sedang mengeluarkan bagasinya. Langkahnya diatur menuju ke pintu utama.

Terasa janggal pertama kali menjejakkan kaki semula ke rumah itu setelah sekian lama. Kedatangannya disambut Mak Siah, pembantu rumah yang berkhidmat dengan keluarganya sejak dia kecil lagi.

“Assalamualaikum” ujar Larra sambil tersenyum.

Lama dia mengamati wajah gadis muda di hadapannya itu. Macam biasa nampak. Namun dia gagal mengenalpasti identiti gadis itu. "Waalaikumussalam. Nak jumpa Datin ke?" soal Mak Siah.

Belum sempat Larra menjawab, Mak Siah terlebih dahulu berkata-kata. "Cik duduklah dulu. Saya buatkan air. Biar saya panggilkan, Datin" sambung wanita itu lagi sebelum ingin berlalu pergi. Berkerut dahi Larra. Sedikit hampa. Takkan 9 tahun aku tak balik sini, Mak Siah dah tak kenal aku.

"Kau tak kenal ke siapa ni, Siah?" soal Pak Mat yang baru masuk sambil membawa bagasi milik Larra.

Kakinya tidak jadi melangkah. Memandang hairan ke arah Pak Mat sebelum kembali memandang ke arah gadis muda di hadapannya. Pastinya gadis itu seseorang yang mereka berdua kenali sehingga lelaki itu menegurnya begitu. Lama dia mengamati wajah gadis itu yang semirip Datin Marissa. Bagai nak gugur jantungnya apabila menyedari gadis di hadapannya itu adalah cik mudanya. Dia kaget sejenak sebelum penyapu di tangannya terlepas dari pegangan lalu jatuh ke lantai.

"Cik Larra ke?" soal Mak Siah. Gadis itu sekadar tergelak kecil sambil mengangguk sebelum menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Huluran salam dari gadis itu menambahkan rasa hairannya. Namun dia bersalam juga dengan gadis itu sebelum mengerling sekilas ke arah Pak Mat di sisi yang sekadar tersenyum memandangnya. Kelakuan gadis itu benar-benar membingungkannya. Sangat berbeza dari diri gadis itu yang pernah dikenalinya dahulu.

"Maaflah. Tangan Mak Siah kotor” ujarnya.

Larra tersenyum. “Tak apa. Erm, mama mana?”

Mak Siah terdiam sejenak. Luar biasa budak ni boleh cakap lembut-lembut pula dengan aku. "Errr.. Datin? Ada dekat dalam. Nak Mak Siah panggilkan ke, Cik?"

Pantas menggeleng. "Tak payah. Biar saya pergi jumpa dia sendiri" ujar Larra.

Mak Siah mengangguk sambil tersenyum. "Datin dekat dapur rasanya tadi. Cik pergilah jumpa Datin. Biar Mak Siah hantar beg ke bilik Cik" ujarnya sambil terus berlalu.

Larra mengerutkan dahinya. Mama boleh turun dapur? Dah sihat ke? Persoalan demi persoalan mulai bermain-main di fikirannya. “Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu, Cik” ujar Pak Mat. Larra sekadar tersenyum dan mengangguk. Lelaki itu kini sudah berjalan meninggalkannya sendirian di ruang itu.

Dia mengambil kesempatan itu untuk memerhati segenap ruang itu. Tersenyum sendiri sebelum mula melangkah menuju ke dapur. Tekaknya terasa haus pula. Setibanya di dapur, terus dia membuka peti sejuk sebelum mengeluarkan sebotol air mineral. Berniat untuk menghilangkan dahaga.

“Eh awak ni siapa?!" jerit satu suara membuatkan niatnya untuk minum terbantut. Pantas dia menoleh. Seorang wanita muda yang mungkin dalam lingkungan tiga puluhan sedang berdiri tegak memandangnya. Larra cuba mengingat siapakah gerangan gadis itu namun gagal. Seingatnya, pekerja di dalam rumah itu cumalah Mak Siah dan Pak Mat. Siapa pula ni? Dia tidak pernah kenal wanita itu.

"Tadi Mak Siah kata mama dekat dapur. Sebab tu saya ke sini. Akak nampak dia tak?" soal Larra sebelum meletakkan kembali botol mineral yang belum dibuka itu di atas kabinet.

Dipandangnya gadis itu dari atas ke bawah. Menggeleng sebelum mengeluarkan beberapa cawan dari dalam kabinet. “Tak nampak. Lagipun, tetamu tak dibenarkan masuk ke dapur. Baik awak keluar sebelum Datin nampak" ujar Nina.

"Ni apa kecoh-kecoh ni? Saya dengar dari tadi lagi bising. Dekat depan bising. Dapur bising” soal Datin Marissa sebelum masuk ke dapur. Dipandangnya Nina meminta penjelasan.

Tertunduk. “Minta maaf, Datin. Saya cuma tegur Cik ni. Beritahu Datin tak suka tetamu masuk ke dapur” jelas Nina sebelum memandang ke arah gadis muda yang ditegurnya tadi.

Datin Marissa mengerutkan dahinya sebelum menoleh ke sisi. Siapa yang dimaksudkan oleh Nina? Terkedu sejenak sebaik sahaja terpandang wajah itu. Bagai tidak percaya, anak gadisnya itu kini berada di hadapan matanya. Dipejam celikkan matanya bagi meyakinkan diri apa yang dilihatnya bukanlah ilusi.

“La...Larra!” jeritnya.

Larra tersenyum sebelum berjalan mendapatkan mamanya. Bersalam dan mencium tangan. Namun persoalan tentang keadaan kesihatan mamanya masih bermain-main di fikiran.

“Betul ke ni Larra?” soal Datin Marissa lagi sambil terus memeluk anaknya itu. Masih tidak percaya, akhirnya Larra pulang juga ke rumah ini setelah 9 tahun.

Larra membalas pelukan mamanya. "Ya mama. Ni Larra. Rindunya dekat mama" luahnya.

Nina tercengang. Mama? Larra? Nampaknya dia sudah silap langkah. Gadis yang disangkanya tetamu itu, rupa-rupanya adalah anak Dato' Qamal yang selama ini dikhabarkan berada di luar negara. Selama 6 tahun dia bekerja di situ, ini merupakan kali pertama dia berjumpa gadis itu. Patutlah dia selamba je masuk dapur macam rumah sendiri. Memang rumah dia pun!

Namun seketika kemudian tubuhnya terasa ditolak perlahan sebelum mamanya bertindak meleraikan pelukannya. Larra mengerutkan dahinya sambil memandang hairan mamanya yang sedang tersenyum tawar.

“Mama?”

“Maafkan mama. Mama lupa Larra tak suka dipeluk. Lebih-lebih lagi depan orang” ujar Datin Marissa. Dia masih ingat Larra pernah membentak gara-gara dia memeluk gadis itu di hadapan rakan-rakannya. "Mama boleh tak jangan peluk Larra macam ni? Larra bukan budak kecil lagi! Malulah orang tengok”. Teringat kembali kata-kata gadis itu padanya dahulu.

Nina meninggalkan dapur itu. Tidak mahu berlama-lama di situ. Kedua beranak itu perlukan privasi.

Timbul rasa bersalah. Dia mengeluh perlahan sebelum tertunduk seketika. Tidak menyangka, mama masih berpegang pada kata-katanya dahulu. "Larra menyesal dengan apa yang Larra pernah buat. Larra bukan macam dulu lagi, mama. Larra minta maaf" ujarnya sebelum memegang erat tangan mamanya.

Dipandangnya lama wajah anak gadisnya itu. Perlahan-lahan dia tersenyum sebelum memegang pipi Larra. “Mama tak pernah simpan dalam hati. Apapun yang terjadi, Larra tetap anak mama. Kasih sayang mama dekat Larra tak pernah berkurang” ujar Datin Marissa kembali. sambil tersenyum sebelum melepaskan satu keluhan berat.



***
Tengku Dzafril Haidhar memegang perutnya yang sudah berkeroncong hebat. Langkahnya diatur menuruni tangga sebelum terpandang kelibat Kak Indah.

"Saya lapar. Tolong siapkan makanan" arahnya membuatkan wanita itu menoleh ke arahnya.

"Iya, tuan muda. Tunggu sebentar ya" ujar Kak Indah sebelum pantas berjalan masuk ke dapur.

Dia melepaskan satu keluhan berat sambil melangkah malas menuju ke ruang makan. Kelihatan Kak Indah sedang sibuk menghidangkan lauk pauk di atas meja makan. Dia menarik kerusi sebelum duduk. Rumah itu sememangnya sunyi. Papanya sangat jarang berada di rumah. Kebiasaanya memang dia dan Kak Indah sahaja yang tinggal. Kerana itulah setiap kali papanya tiada, dia lebih gemar berada di rumah Aqiem, teman baiknya.

"Jemput makan, tuan muda" ujar Kak Indah yang sudah siap menyajikan makanan buatnya membuatkan lamunannya terhenti. Dia menoleh ke arah wanita itu yang sedang tersenyum.

"Kak Indah tak nak makan sekali?" soalnya. Berharap pembantu rumahnya itu mahu menemaninya makan.

Pantas dia menggeleng sambil tersenyum. "Ngak usah. Tuan, makan aja dulu. Saya masih banyak kerja di dapur" ujar Kak Indah sebelum kembali ke dapur meninggalkannya.

Tengku Dzafril Haidhar sekadar memerhati bayang Kak Indah yang kini sudah tidak kelihatan. Kembali memandang lauk pauk yang terhidang di hadapannya. Mengeluh perlahan. Makan bersendirian bukanlah situasi baru baginya. Sejak kecil dia sudah biasa dengan keadaan itu. Perjalanan hidupnya cukup sunyi. Dia membesar tidak seperti kanak-kanak lain yang dilimpahi kasih sayang orang tua. Nak harap dapat makan bersama papanya memang payah. Selalu sibuk dengan urusan syarikat. Mummynya pula tinggal agak jauh dari kediaman papa. Namun hubungannya dengan wanita itu tidak seperti hubungan ibu dan anak yang lain. Dia sendiri tidak tahu apa itu hubungan kekeluargaan. Tersenyum sinis. Mentertawakan nasib dirinya sendiri. Dia mengelamun panjang tanpa sedar dia hanya menjamah sedikit sahaja dari makanan-makanan yang dihidangkan. Sudu dan garfu diletakkan semula ke pinggan.

"Eh? Tuan muda udah siap makan? Emangnya ngak enak ya, tuan?" soal Kak Indah jelas terkejut apabila melihat lelaki itu sudah ingin berlalu pergi.

Dia menoleh. Tersenyum. "Bukan tak sedap. Saya dah kenyang" balas Tengku Dzafril Haidhar pendek sebelum berlalu pergi meninggalkan ruang itu.

Berkerut keningnya melihat lelaki itu berlalu pergi. Indah menarik nafas panjang. “Hidupnya pasti sunyi. Ganteng-ganteng tapi ngak tahu erti kasih sayang. Ada keluarga seperti ngak ada keluarga. Kasihan” keluhnya perlahan sambil membawa pinggan mangkuk berisi lauk pauk itu ke dapur semula untuk disimpan.


***
Pembantu rumah itu sudah siap menghidangkan lauk pauk di atas meja. "Jemput makan, Cik Larra" ujar Nina membuatkan Larra menoleh padanya sambil tersenyum.

"Makan sekali?" ajak Larra.

"Larra, rule dalam rumah ni tak pernah berubah" Datin Marissa pantas bersuara.

Nina tersenyum memandangnya sebelum berlalu semula ke dapur. Fahamlah dia, undang-undang pembantu rumah dan majikan tidak boleh makan pada meja makan yang sama masih berkuat kuasa di rumah itu. Dia mengeluh perlahan sebelum mengerling sekilas ke arah mamanya. "Mama. Boleh tak Larra nak tanya sikit?”

Berkerut dahinya memandang anaknya itu. "Tanya apa?" soal Datin Marissa kembali.

Terdiam sejenak sebelum melepaskan satu keluhan berat. Dia perlukan penjelasan dari mama tentang persoalan yang bermain-main di fikirannya sejak dia tiba di sini lagi. "Mama sakit apa sebenarnya?" soal Larra sambil memandang tepat ke arah Datin Marissa. Pak Mat sendiri menafikan berita mama sakit dan kini dia sendiri melihat mamanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Dia mula berasa tidak sedap hati. Papa tipu aku ke?

Terkedu sejenak dia mendengar soalan anaknya itu. Gara-gara ingin mengumpan Larra supaya pulang semula ke Malaysia, dia terpaksa menipu berpura-pura sakit. Ini semua idea suaminya. Mula terasa bersalah. Dipandangnya Larra yang masih menunggu jawapan darinya. Tersenyum. Cuba menyembunyikan isi hatinya yang gundah.

“Haritu mama demam teruk. Sampai tak boleh bangun. Dahlah, Larra janganlah risau. Sekarang dah sihat sikit” balas Datin Marissa sebelum kembali menyuap makanan. Tidak mahu Larra mengesan sebarang keganjilan pada dirinya.

Dipandangnya lama wajah mamanya itu lalu mengeluh perlahan. Dia dapat merasakan seperti ada sesuatu yang disembunyikan dari pengetahuannya. Namun, dia malas hendak terus bertanya. “Kalau macam tu, tak apalah. Mama kena jaga kesihatan bila Larra dah balik sana nanti” balasnya kembali.

Dipandang kembali Larra. Berkerut keningnya. “Larra nak balik sana lagi buat apa?” soalnya tidak puas hati.

"Larra balik kejap je ni, mama. Larra balik ni pun, sebab nak jenguk mama dengan papa. Mungkin minggu depan Larra balik sana semula” jawab Larra sambil tersenyum. Dia tahu mama tidak berpuas hati mendengar jawapannya namun dia tidak tega untuk tinggal lama di sini. Dia masih belum punya kekuatan untuk berhadapan dengan kehidupan lampaunya.

Seminggu je dekat sini. Takkan dalam masa seminggu boleh siapkan semua yang dirancang, fikirnya. Dia mulai bimbang. "Takkan seminggu je? Mama tak puas lagi jumpa Larra. Lama-lamalah sikit tinggal di sini" cadang Datin Marissa.

Dia berhenti mengunyah seolah berfikir sesuatu sebelum makanannya di mulutnya dipaksa telan melepasi kerongkong. "Larra tak berani tinggal lama dekat sini. Mama pun tahu kan, kenapa?" pujuknya kembali.

Menarik nafas panjang. Kasihan dia melihat hidup anaknya itu yang masih dihantui dengan kesilapan dari masa silamnya. "Sampai bila Larra nak larikan diri macam ni? Tak kesian ke dekat mama dengan papa. Mama dengan papa bukannya muda lagi. Nak tunggu Larra balik lagi jenguk kami, entah bila agaknya. Ni pun lepas 9 tahun baru nak balik sini" balas Datin Marissa lagi jelas tidak bersetuju dengan keputusan Larra. Meski dia tahu, gadis itu tidak mudah berubah fikiran namun dia benar-benar berharap anaknya tidak perlu berjauhan dari keluarga lagi.

“Larra tahu, Larra pentingkan diri. Keputusan Larra ni tak adil buat mama dengan papa. But i’m just not ready yet. Larra harap mama faham" jawabnya lemah.

Dipandangnya lama wajah anak gadisnya itu. Hampa mendengar jawapan yang diberikan Larra. Sikap degil anaknya itu masih tidak berubah. Keputusannya tidak mungkin berjaya diubah. Deringan telefon bimbit miliknya secara tiba-tiba menganggu perbualan mereka berdua. Dia melepaskan satu keluhan berat. "Larra makanlah dulu. Mama nak jawab call kejap" ujarnya sebelum berlalu keluar dari ruang itu meninggalkan Larra.

Larra mengeluh perlahan. Dia tahu jawapannya tadi telah melukakan hati mamanya namun apakan daya. Aku terpaksa. "Cik Larra" namanya dipanggil membuatkan dia pantas menoleh. Dilihatnya Nina sedang berdiri di sisi sambil memandangnya.

“Ya?”

"Saya minta maaf pasal tadi. Saya tak tahu, yang Cik Larra ni anak Datin”

Larra tersenyum nipis. Sudu dan garfu diletakkan di pinggan sebelum mengelap mulutnya dengan napkin. Dia memandang kembali Nina yang kelihatan gelisah. "Lupakan je lah pasal tadi. Saya tak ambil hati pun. Lagipun saya dah lama tak balik sini. Memang wajar kalau akak tak kenal saya" balasnya.

Jawapan anak gadis majikannya itu sama sekali jauh dengan apa yang diduganya. Fikirnya dia akan dimarahi namun ternyata gadis itu bersikap sebaliknya. Sedikit kagum dengan peribadi gadis itu. “Betul ni Cik tak marah?” soalnya lagi meminta kepastian.
Dia memandang Nina sambil menggeleng perlahan. Difikirkan, jika dia masih sama seperti 9 tahun lepas, tidak mungkin dengan mudah dia melepaskan Nina. Dia tersenyum lagi. “Hidup kita ni bukan sentiasa di atas kan? Esok lusa kita tak tahu apa jadi dekat nasib kita. Lagipun akak dah minta maaf. Sudahlah” ujar Larra.

Ternyata gadis di hadapannya itu bukan sembarangan orang. Bicaranya tenang dan lembut. Tidak meninggi diri meskipun datang dari keluarga ternama. “Untung siapa dapat Cik. Dahlah cantik, baik pula tu. Memang sepadan dengan Teng...." serentak kata-katanya terhenti di situ apabila teringat dia tidak sepatutnya membocorkan rahsia itu kepada Cik Larra.

Gelas minuman di tangannya segera diletakkan kembali ke atas meja. Berkerut keningnya memandang ke arah Kak Nina. “Teng?” soal Larra sambil otaknya cuba berfikir. “Teng apa kak?" sambung Larra lagi.

Bulat matanya. Alamak apa aku nak buat ni. “Err tak ada apa-apalah, Cik. Eh alamak. Saya lupa nak tengok makanan dekat dapur tu. Takut hangus pulak. Saya ke dapur dulu, Cik" ujarnya sambil kelam kabut berjalan keluar dari ruang itu. Memarahi diri sendiri yang mudah sahaja terlepas cakap. Kalau Datin tahu, habislah aku.


0 comments: