"Damn!" jeritnya sekuat hati. Bergema bilik itu dengan suaranya. Rasa bengang masih menguasai diri. Terkejut setelah diberitahu tentang hal pertunangannya sebentar tadi. Dia benar-benar marah.
"Sesuka hati je nak buat keputusan untuk aku!" jeritnya lagi.
Sejak tadi, telefon bimbit yang berdering langsung tidak diendahkan. Dia masih serabut memikirkan tentang masalah pertunangan itu. Aku benci perempuan. Siapa agaknya perempuan yang papa pilihkan untuk aku? Tak guna.
Telefon bimbitnya sekali bercahaya sebelum berdering membuatkan dia segera berpaling. Pantas mencapai telefon itu sebelum hampir sahaja dia membalingnya ke lantai. Namun nama pemanggil yang tertera membuatkan dia tidak jadi untuk berbuat demikian. Lantas simbol hijau pada skrin di sentuhnya. "Hello" jawabnya malas.
”Zaf! Kau free tak malam ni. Jom keluar. Lepak tempat biasa. Zeen Club"
Tengku Dzafril Haidhar terdiam seketika. "Siapa lagi ada?”
”Fahim ada. Zaqrul datang kejap lagi. Yang tak ada malam ni cuma Joe je"
***
Berjaya pun! Desisnya setelah berjaya memanjat dan melompat keluar dari tembok tinggi itu. Dia menarik nafas panjang sebelum kembali menoleh memandang rumah banglo miik keluarganya itu. Digenggam erat beg Levi's yang dibawanya. Hanya beberapa pakaian, dompet dan juga telefon bimbit dibawa bersama. Suasana sekeliling yang agak gelap membuatkan dia ketakutan sendiri. Perlahan menggosok lengannya. "Sejuk pula dekat luar ni" keluhnya sambil terus berjalan menuju ke jalan utama.
Nasibnya baik apabila ada teksi yang muncul tidak lama dia berdiri di situ. Cepat-cepat dia menahan. Pantas berjalan menghampiri teksi yang sudah berhenti itu. Pemandunya seorang yang agak berusia.
"Pak Cik, boleh hantar saya ke Pandan Indah Hotel tak?" soalnya membuatkan pemandu teksi itu kelihatan agak teragak-agak untuk menjawabnya. Dipandangnya jam di dashboard kereta yang sudah hampir menunjukkan ke angka 10 malam.
"Tapi nak, pak cik tak lalu jalan tu. Kawasan tu jauh dari tempat ni" ujar lelaki itu.
Larra menarik nafas panjang mendengar kata-kata dari lelaki itu sebelum memandang sekilas jalan yang kian sunyi itu. "Pak cik, saya betul-betul kena ke sana secepat mungkin. Nak harapkan teksi lain, saya rasa tak ada lalu dah malam macam ni. Tolonglah hantar saya pak cik. Saya bayar lebih" ujarnya lagi bersungguh-sungguh. Masih tidak berputus asa untuk memujuk. Teksi inilah satu-satu harapan yang ada untuk dia segera pergi dari rumah itu sebelum papa dan mama sedar akan kehilangannya.
Pak Daud serba salah. "Bukan soal duit nak, tapi masa pak cik” ujarnya cuba memberi penjelasan. Melihat keadaan gadis itu sendirian membuatkan dia jadi tidak sampai hati. Dahlah hari pun nak tengah malam. Meski kawasan ini merupakan kawasan perumahan mewah, takut juga dia sekiranya berlaku sesuatu yang buruk pada gadis itu.
“Tak apalah. Kesian pak cik tengok anak ni. Naiklah, mari pak cik hantarkan" dia mengalah akhirnya. Gadis muda itu tersenyum sebelum segera masuk ke dalam perut kereta. Dia kembali memandu teksi menuju ke tempat yang diarahkan. Sempat dia mengerling sekilas ke arah gadis itu.
"Anak ni memang tinggal dekat kawasan perumahan tu ya?" Dia memulakan perbualan.
"Err, Kenapa pak cik?" soal Larra kembali.
"Tak adalah, tu kan kawasan perumahan orang kaya. Pak cik tanya je sebab tak pernah nampak Cik ni sebelum ni. Selalu juga pakcik lalu sini" balas Pak Cik Daud lagi.
"Saya tumpang rumah saudara je dekat situ" balas Larra.
"Ouh, dari kampung la ni ya. Anak ingat tak rumah banglo tempat pak cik berhenti tadi?".
Larra mengetap bibirnya tanda tanda hairan. Rumah mana pulak maksud pakcik ni? “Maksud pak cik, rumah yang pak cik berhenti tadi tu ke?” Larra bertanya lagi. Ingin mendapatkan kepastian.
“Ha'ah. Rumah yang tu lah. Anak kenal ke dengan keluarga Dato' tu?”
“Tak kenal. Kenapa dengan rumah tu, pak cik?” soalnya curiga. Meski dia tahu, rumah yang dimaksudkan itu adalah rumahnya.
"Pak cik dengar, anak Dato' yang tinggal dekat situ dulu pernah bunuh orang. Tak tahulah apa cerita sekarang dengan budak tu" kedengaran pemandu teksi itu mengeluarkan kenyataan serentak membuatkan darahnya tersirap menyerbu muka. Kalau betul anak Dato' yang dimaksudkan oleh pak cik ni adalah aku, maka kenyataan yang dikeluarkan itu sama sekali tidak benar. Aku mana ada bunuh orang. Anehnya, bagaimana pakcik pemandu teksi itu tahu tentang cerita itu?
"Pak cik tahu dari mana?" soal Larra. Sedaya upaya cuba mengawal perasaannya yang sudah tidak tentu arah. Apa yang pasti dia tidak suka hal peribadinya dijaja-jaja.
"Dulu. Dah lama dah cerita ni. Ada beberapa budak yang sekolah sama dengan anak Dato' tu cerita masa tumpang teksi pakcik ni balik. Macam-macamlah yang pakcik dengar. Sampai sekarang pak cik teringat setiap kali lalu depan rumah tu. Dengar cerita yang anak Dato’ tu selalu buli pelajar lain dekat sekolah. Mak bapa hantar anak sekolah, tapi anak pula buat masalah dekat sekolah. Apalah nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang ni" ujar Pak Cik Daud panjang lebar.
Larra menelan air liurnya. “Perempuan ke anak Dato’ tu pak cik?”
“Ha’ah. Dato’ tu katanya cuma ada seorang anak je. Perempuan” jawab Pak Daud.
Larra tertunduk lemah. Yakinlah dia, budak yang dimaksudkan sememangnya aku. Tidak menyangka, cerita perihal dirinya tersebar sehingga ke pengetahuan orang luar. Aku ingat cerita tu habis dalam kalangan budak sekolah aku je. Tapi kenapa tokok tambah cerita sampai cakap aku bunuh orang? Benci sangat ke dia orang semua dekat aku? Ya, mestilah dia orang benci. Tersenyum tawar. Aneh bila orang masih boleh terima aku lepas apa yang aku dah buat.
"Nak, dah sampai"
Lamunannya terhenti. Kini dia sudahpun berada di hadapan Pandan Indah Hotel. Jauh sungguh dia mengelamun. Pantas bag sandangnya dicapai. “Terima kasih, pak cik” ujar Larra sambil menyerahkan not RM50 yang baru dikeluarkan dari dompetnya.
"Eh? Duit ni lebih ni. Meter pak cik cuma RM33.50 je" ujar Pak Daud jelas terkejut.
Larra menggalas beg sandangnya sambil tersenyum memandang pemandu teksi itu. "Tak apalah, pak cik. Saya ikhlas. Terima kasih banyak-banyak sebab sanggup hantarkan saya sampai ke mari. Kalau tak ada pak cik tadi, tak tahulah macam mana saya" ujarnya.
Dia menarik nafas panjang memandang gadis muda itu sebelum memasukkan not RM 50 yang baru diterimanya ke poket baju. "Baik betul anak ni. Terima kasih lah ya" ujarnya.
Larra mengangguk perlahan sebelum pantas membuka pintu kereta berniat hendak keluar. Namun kemudian langkahnya terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum menoleh kembali ke arah pemandu teksi itu. "Saya harap pak cik tak cerita lagi pasal anak Dato' tu dekat penumpang pak cik yang lain. Cerita dia bunuh orang tu tak betul. Saya minta diri dulu, pak cik” ujarnya sebelum pantas melangkah keluar dari teksi itu.
Berkerut dahinya memandang tubuh gadis itu yang sudah semakin menjauh. Masih terngiang-ngiang kata-kata gadis itu padanya tadi. “Siapa sebenarnya dia?” soalnya hairan. Melalui cara gadis itu berkata tadi, seolah gadis itu cukup jelas dengan cerita yang disampaikan olehnya.
***
Aqiem tercengang sejenak memandang ke arah Tengku Dzafril Haidhar yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti dari meneguk minuman beralkohol di gelasnya. Sesekali dia melirik ke arah Zaqrul di sisinya yang turut memandang hairan lelaki itu. Gelas yang telah kosong ingin diisinya lagi. Tak boleh dibiarkan ni. Pantas dia segera bertindak merampas botol arak dari tangan lelaki itu.
"Enough! Zaf!" marahnya dengan suara yang terpaksa ditinggikan. Irama muzik yang kuat di tempat itu membuatkan dia terpaksa menjerit sedikit. Meski mereka berada di zon privasi namun suasana hingar bingar tempat itu masih terasa.
Perbuatannya itu telah menimbulkan kemarahan lelaki itu. Berkerut dahinya. Memandang dengan wajah yang bengis. "Kau ni apahal! Bagi balik lah!" marah Tengku Dzafril Haidhar sambil menggapai-gapaikan tangannya untuk mengambil kembali botol minuman beralkohol itu dari tangan Aqiem. Cepat-cepat Zaqrul bangun sebelum duduk di sisi Tengku Dzafril Haidhar. Cuba untuk menenangkan lelaki itu.
"Kau ada masalah ke, Zaf? Tak pernah kau macam ni. Kalau kau ada masalah, cerita dekat kita orang. Bukan mabukkan diri kau" pujuk Zaqrul.
Namun kata-kata pujuk Zaqrul itu langsung tidak memberi kesan padanya. Tengku Dzafril Haidhar pantas menolak Aqiem sebelum mendapatkan kembali botol araknya. "Masalah? Kalau aku beritahu pun, kau orang mampu ke selesaikan masalah aku? Tak ada orang yang boleh faham aku. Termasuk bapak aku sendiri" balasnya sinis sebelum meneguk rakus arak di gelasnya. Zaqrul dan Aqiem sekadar berpandangan. Terdiam. Masing-masing sudah hilang idea untuk memujuk Tengku Dzafril Haidhar.
Dia berjalan masuk ke dalam ruang itu mendapatkan semula rakan-rakannya. Penat di pentas tari tadi masih belum hilang. Dilihatnya kini Zaqrul dan Aqiem sama-sama kaku memandang Tengku Dzafril Haidhar. Berkerut dahinya. “Hey! Hey! Yang korang ni dah kenapa pandang dia macam tu?" tegur Fahim sebelum duduk di sisi Zaqrul. Tertawa kecil.
"Kau tengoklah sendiri dia tengah buat apa? Tak pelik ke?" ujar Zaqrul membuatkan Fahim mengarahkan seluruh pandangannya ke arah Tengku Dzafril Haidhar.
"Dia minum? Then kenapa? Apa yang peliknya sampai korang pandang dia macam nak tembus?" soalnya kembali. Itu bukanlah pertama kali Tengku Dzafril Haidhar meneguk minuman keras. Jadi apa yang menghairankan sehingga kedua rakannya itu memandang Tengku Dzafril Haidhar dengan pandangan tidak percaya.
Menarik nafas panjang sebelum menoleh ke arah Fahim yang masih bingung. "Kau tahu tak berapa gelas dah mamat ni teguk dari kita enter tempat ni tadi?" soal Zaqrul. Fahim menggelengkan kepala.
"8 gelas! Non-stop" beritahu Aqiem membuatkan Fahim tergamam. Bulat matanya sebelum pantas memandang ke arah Tengku Dzafril Haidhar yang tampak selamba. Sedikit pun tidak menghiraukan perbualan rakan-rakannya yang kini berkisar tentang dirinya. Automatik Fahim bangun dari duduknya dan berdiri memandang Tengku Dzafril Haidhar.
"Kau ni nak bunuh diri ke apa ni Zaf? Minum banyak sangat malam ni kenapa?. Kalau terkencing dalam seluar siapa nak tolong!" ujar Fahim berpura-pura marah serentak membuatkan Zaqrul dan Aqiem tergelak besar.
Aqiem menggeleng perlahan. Ingatkan tadi dia nak marah. "Bengong lah kau ni Fahim. Cuba serius sikit. Aku risau tengok dia ni. Tak pernah-pernah dia minum banyak macam ni” ujarnya sambil menoleh kembali ke arah Tengku Dzafril Haidhar.
“Selalu setakat 4-5 gelas tu biasa la. Ni sampai 8 gelas.... Okay dah up. 9 gelas. Apa kes?" ujar Zaqrul. Jelas bimbang melihat keadaan sahabatnya itu.
Fahim tersengih memandang ke arah Zaqrul dan Aqiem sebelum duduk semula di tempatnya. Menarik nafas panjang. "Apa masalah kau sebenarnya, Zaf? Bapa kau?" soalnya. Mula serius. Kelihatannya, seolah masalah besar yang dihadapi oleh Tengku Dzafril Haidhar sehingga membuatkan lelaki itu bertindak begitu.
Dia ketawa kecil mendengar soalan yang diajukan oleh Fahim. Serentak menghentak gelas kosong di tangannya ke atas meja. Menoleh ke arah lelaki itu yang masih memandangnya. “Kau tahu apa? Hidup aku dah musnah. Kau tahu kan selama ni, aku memang tak nak terikat dengan mana-mana perempuan. Tapi kenapa?.......” kata-katanya terhenti sejenak di situ sebelum tersenyum sinis. “Aku benci dia!" jerit Tengku Dzafril Haidhar.
Aqiem menarik nafas panjang. "Tak baik kau cakap macam tu. Apapun, dia tu kan bapa kau. Tak baik benci bapa sendiri" ujarnya.
"Betul tu Zaf. Kau tak boleh cakap macam tu dekat bapa kau" ujar Zaqrul pula menyokong kata-kata Aqiem.
Tengku Dzafril Haidhar mendengus keras. "Aku bukan cakap pasal papa aku la!" tempiknya serentak membuatkan ketiga-tiga sahabatnya yang lain terdiam. Dia memandang ketiga-tiga mereka. "Tunang aku" ujarnya perlahan sebelum tersandar di sofa. Memejam matanya sambil menarik nafas panjang. Memikirkan tentang hal itu membuatkan dia diamuk perasaan marah.
Berkerut dahinya mendengar kata-kata lelaki itu. Buat seketika masing-masing terdiam kaku. Saling berpandangan antara satu sama lain. Tercengang? Ya mungkin. Tercengang dengan apa yang baru didengari oleh mereka. Agh, mungkin perasaan aku je kot? Aku salah dengar. Memikirkan dia sudah tersilap, Aqiem gagal menahan rasa ketawanya membuatkan dia tergelak sendiri.
Zaqrul dan Fahim yang masih memberi perhatian ke arah Tengku Dzafril Haidhar pantas beralih memandang ke arah Aqiem yang sedang ketawa sendiri.
"Apasal kau gelak?" soal Fahim hairan. Nada suaranya kedengaran serius. Aqiem dilihatnya sedaya upaya mencuba untuk menahan dari ketawanya terus meletus. Kembang kempis hidung lelaki itu sebelum mengeleng perlahan.
"Tak ada. Aku dengar Zaf cakap tunang dia. Aku dah lama tak korek telinga agaknya" ujar Aqiem lantas berterus terang. Digaru-garu kepalanya sambil menahan ketawa yang masih bersisa.
Berkerut dahi Fahim mendengar jawapan Aqiem itu sebelum menoleh ke arah Zaqrul. "Aku pun dengar dia cakap, tunang dia. Kau dengar apa Rul?" soal Fahim membuatkan ketawa Aqiem mati. Menoleh ke arah Zaqrul.
"Aku pun dengar dia cakap tunang" ujar Zaqrul pula.
Sekali lagi mereka bertiga terdiam. Perlahan-lahan perhatian mereka diarahkan ke arah Tengku Dzafril Haidhar yang sudah terlena di sofa. "Kau dah bertunang?!!" soal mereka bertiga kuat serentak membuatkan Tengku Dzafril Haidhar terjaga dek jeritan mereka bertiga. Terpisat-pisat dia memandang seorang demi seorang sahabatnya itu.
"Apa?" soalnya pula yang kurang jelas dengan soalan yang diajukan.
"Kau dah bertunang? Aku tak salah dengar kan?" soal Aqiem lagi.
Soalan dari Aqiem itu menyesakkan dadanya. Tengku Dzafril Haidhar kembali memejam erat matanya. “Tak. Kau tak salah dengar” jawabnya lemah membuatkan ketiga-tiga rakannya yang lain ternganga.
"Apasal tiba-tiba je weh? Apa cerita sebenarnya ni? Aaaa..aku tak faham" soal Fahim jelas kebingungan. Setahunya, Tengku Dzafril Haidhar tidak sukakan komitmen dengan perempuan.
"A'ah. Apasal tetibe je?" soal Zaqrul pula.
"Bapak aku pergi tunangkan aku dengan perempuan sial tu!" marah Tengku Dzafril Haidhar sambil melepaskan satu keluhan berat. “Yang aku tak pernah jumpa. Tak pernah kenal. Tiba-tiba dia muncul dalam hidup aku. Bagi aku masalah” ujarnya lagi sebelum meneguk minuman keras di gelasnya. Cukup serabut kepalanya memikirkan siapakah gadis yang ditunangkan secara tiba-tiba dengannya itu.
Fahim menjeling sekilas Zaqrul. "Susah aku nak percaya dia dah ada tunang" ujarnya.
Aqiem menarik nafas panjang. Masing-masing masih lagi terkejut dengan berita yang tidak disangka-sangka itu. Tengku Dzafril Haidhar, kasanova kelas pertama sudah bertunang dengan gadis pilihan keluarga. "Tengok keadaan dia sekarang, dia tak cakap bohong ni. Takkan lah dia mabuk sampai macam ni kalau tak ada masalah besar”.
Zaqrul menghela nafas panjang sebelum menoleh ke arah Fahim dan Aqiem. “Aku rasa dari keadaan tambah buruk duduk dekat sini. Baik kita bawa dia keluar. Dia dah mabuk teruk ni" Dia memberi cadangan.
Aqiem dan Fahim mengangguk sebelum bangun dan menarik Tengku Dzafril Haidhar untuk turut bangun namun lelaki itu pantas menolak kedua-duanya. "Apa ni? Aku belum mabuk lagi lah. Kau tengok, aku boleh drive kereta lagi" ujarnya sambil mengangkat kedua-dua tangannya. Gayanya seolah sedang memegang stering dan memandu kereta.
Fahim menggeleng perlahan kepalanya melihat keadaan lelaki itu sebelum memberi isyarat kepada Zaqrul supaya kembali mengangkat sahabatnya yang telah mabuk itu. "Kau ni pun, jangan lah minum banyak sangat lain kali kalau ya pun ada masalah. Banyak lagi cara lain kau boleh buat nak lepaskan stress" marahnya sambil memaut lengan Tengku Dzafril Haidhar yang sudah hampir tidak sedarkan diri.
Satu keluhan berat dilepaskannya. Dipandangnya Aqiem yang turut mengekori langkah mereka bertiga. "Dia datang sini tadi pakai apa Qiem? Driver dia hantar ke dia drive sendiri?" soal Zaqrul sedikit bimbang. Dia tahu Zaf pasti akan dimarahi Tan Sri Tengku Radzi sekiranya dia balik dalam keadaan mabuk.
"Dia drive. Kereta dia ada dekat depan tu" balas Aqiem sambil menyarungkan jaketnya.
"Habis tu macam mana nak hantar dia balik rumah dengan keadaan dia macam ni? Mana boleh drive ni? Risau pulak aku" soal Zaqrul lagi semakin bimbang. Mereka berempat sudahpun keluar dari Zeen Club menuju ke tempat letak kereta.
"Aku boleh drive sendiri lah!" tempik Tengku Dzafril Haidhar secara tiba-tiba sebelum pantas membongkokkan badannya. "Bluweekkk!!" serentak dia muntah membuatkan Fahim dan Zaqrul yang sedang memapahnya memekik kuat kerana terkejut.
"Eeeiii! Muntah pula budak ni. Macam ni kau kata, kau boleh drive sendiri? Jangan mengada-ngada, Zaf" marah Zaqrul sambil menggosok perlahan belakang tubuh lelaki itu.
"Nasib baik tak kena baju aku" ngomel Fahim. Membelek-belek bajunya.
"Aku rasa better dia balik kondo aku je lah malam ni. Payah kot nak hantar dia sampai Damansara sana. Cuma masalah sekarang, kereta dia tu macam mana? Siapa nak bawa?" soal Aqiem lagi sambil menekan punat pada alat kawalan jauh keretanya.
"A'ahlah. Dah lah kereta import. Takkan nak tinggal sini. Kalau hilang siapa nak tanggung" ujar Zaqrul.
"Kau bukan datang sini guna driver ke, Rul? Kau bawa lah kereta si Zaf ni ke kondo Aqiem. Lepas tu kau suruh lah driver kau ambil dekat sana" ujar Fahim memberi cadangan. Aqiem sudahpun membuka pintu keretanya sambil cuba membantu kedua-dua sahabatnya memasukkan Tengku Dzafril Haidhar yang sudah tidak sedarkan diri itu masuk ke dalam perut kereta.
Digarunya pangkal hidungnya yang tidak gatal. "Ah, okaylah kalau macam tu. Rumah Aqiem pun on the way ke rumah aku" ujar Zaqrul sebelum menyeluk kocek seluar jeans Tengku Dzafril Haidhar bagi mencari kunci keretanya.
***
Bulat mata Dato’ Qamal menerima berita pagi itu. Datin Marissa yang sedang menjamu selera di sisinya juga kelihatan terkejut.
"Apa? Larra tak ada dekat bilik dia?" soalnya meminta kepastian. Mak Siah mengangguk perlahan.
"Puas saya cari, Dato’. Sekitar rumah ni pun dah cari. Cik Larra tak ada" ujarnya bersungguh-sungguh. Usai mendapati Cik Larra tiada di bilik, dia segera menyuruh Nafisah mencari di sekeliling kawasan rumah pula. Namun ternyata gadis itu memang telah menghilangkan diri. Kerana itu dia bertindak melaporkan perkara itu kepada Dato’ Qamal.
"Saya tak percaya yang anak saya lari dari rumah ni. Saya nak pergi check sendiri" ujar Datin Marissa sebelum bingkas bangun dan berjalan menuju ke bilik Larra.
Berkerut-kerut dahi Dato' Qamal memikirkan perkara itu. Kehilangan Larra secara mengejut telah membuatkan selera makannya turut mati. Ke mana budak tu pergi? Takkanlah dia lari dari rumah? Perasaannya sudah bertukar jadi tidak enak.
"Siah, arahkan semua pekerja jumpa saya dekat ruang utama. Sekarang!" arahnya tegas sebelum bangun dan berjalan keluar menuju ke ruang utama. Mak Siah menganguk tanda faham sebelum berlalu pergi menjalankan arahan majikannya itu. Dia turut bangun menuju ke ruang utama.
Beberapa minit kemudian, Pak Mat masuk dengan wajah bimbang segera bertemu dengan Dato' Qamal di ruang utama yang sedang termenung.
"Ada hal apa ni, Dato'?"
Dia terdiam seketika. “Pak Mat ada hantar Larra ke mana-mana ke malam tadi? Tak pun pagi tadi?” soal Dato' Qamal.
Tercengang sejenak dia mendengar soalan dari majikannya itu. “Tak ada Dato'. Saya cuma ada hantar Cik Larra pergi beli barang semalam petang. Hari ni tak ada pula saya nampak dia” terang Pak Mat.
Jawapan Pak Mat itu menghampakannya. “Yang lain-lain? Ada nampak Larra?” soalnya sebelum menoleh memandang Pak Karim yang sekadar berdiam diri sejak tadi. Lelaki itu ditugaskan menjadi pengawal keselamatan rumahnya.
”Pak Karim takkan tak perasan dia keluar?” soal Dato' Qamal lagi.
"Saya berjaga malam tadi Dato' tapi saya pasti yang Cik Larra tak lalu pintu besar tu pun keluar. Saya tak nampak dia" jawab Pak Karim. Jujurnya, dia mula risau sekiranya jawatannya sebagai pengawal keselamatan rumah banglo itu akan dilucutkan kerana kehilangan anak perempuan Dato' itu.
"Habis kalau dia tak lalu gate, takkan dia boleh terbang pula!" jerit Datin Marissa tiba-tiba yang baru muncul di ruang itu membuatkan pantas Dato' Qamal menoleh memandang wajah kusut isterinya itu. Dia faham, wanita itu masih belum dapat menerima kehilangan Larra secara mengejut itu.
"Marissa, janganlah cakap macam tu dekat Karim. Kita tak tahu, Larra mungkin keluar ikut jalan belakang" ujarnya cuba untuk menenangkan Datin Marissa sudah duduk di sisinya dengan wajah sugul.
"Saya bukan apa, saya risau sangat ni. Saya tengok bilik dia. Telefon dan dompet dia semua tak ada. Tak pernah dia keluar senyap-senyap macam ni. Macam dia memang betul-betul larikan diri." ujar Datin Marissa meluahkan rasa bimbangnya.
Keluhan Datin Marissa membuatkan dia terdiam. Rasa bersalah mula menguasai dirinya. Larra sanggup melarikan diri semata-mata kerana menentang keputusan yang dibuat olehnya. Anak itu terlampau dimanjakan, desisnya. Telefon bimbitnya pantas dicapai. Cuba mendail nombor milik Larra. Dia mengeluh perlahan apabila panggilannya masuk ke peti suara pula.
"Ada tak bang?" soal Datin Marissa tidak sabar.
"Telefon dia off, budak ni memang betul-betul menguji sabar saya" ujar Dato' Qamal sambil mencuba lagi untuk mendail nombor milik Larra. Namun hampa. Panggilan itu masih tidak berjaya. Dia mematikan panggilan. Dalam diam, dia khuatir sesuatu yang buruk berlaku pada anaknya itu.
"Kalau tak sebab awak tunangkan dia secara paksa mesti benda tak jadi macam ni" marah Datin Marissa mula menyalahkan Dato’ Qamal. Itulah sebab utama Larra pergi meninggalkannya.
"Awak janganlah nak salahkan saya pula. Saya bukannya tahu, dia sampai nak lari dari rumah" balas Dato' Qamal pula cuba untuk mempertahankan dirinya.
"Apa kata kalau kita laporkan pada polis je Dato'?" Pak Mat cuba memberi cadangan apabila dilihatnya suasana semakin tegang. Dato' Qamal menoleh ke arahnya sebelum bangun lalu berjalan mundar mandir di ruang itu seolah berfikir.
“Tunggu apa lagi bang? Kita lapor pada polis je lah. Takut saya kalau dia diculik” sokong Datin Marissa. Baginya, itu adalah jalan terbaik.
Dato' Qamal menggeleng lemah sebelum menoleh memandangnya. "Tak boleh. Kalau sampai ke pengetahuan polis, panjang ceritanya nanti. Berita ni akan jejaskan syarikat saya. Silap-silap banyak pihak yang tak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan atas kehilangan Larra pula. Kalau betul, dia diculik, mesti dah ada orang yang telefon kita sekarang untuk minta wang tebusan. Tapi, tak ada kan? Bermaksud, Larra tak apa-apa” ujarnya kembali. Dia yakin anaknya itu selamat.
Datin Marissa menarik nafas panjang melihat sikap suaminya. "Abang lagi pentingkan imej syarikat dari keselamatan anak sendiri. Kalau Larra tu tak balik macam mana? Dahlah semua duit dia dalam bank abang bekukan. Dia nak makan apa?” balasnya.
"Bawa bersabar, Marissa. Bukan tu maksud saya. Cuba awak fikir. Larra tak pernah hidup susah selama ni. Awak ingat dia mampu ke nak hidup dekat luar sana tanpa duit dekat tangan? Nak bekerja? Kerja apa yang dia reti? Saya yakin, dia tak akan mampu duduk lama di luar. Awak percayalah cakap saya. Dia akan balik semula rumah ni” jawab Dato’ Qamal.
“Saya bimbang” ujar Datin Marissa yang sudah hendak menangis.
“Buat sementara waktu, saya akan kerahkan orang untuk cari dia. Kita doakanlah dia supaya sentiasa selamat” ujarnya sambil memandang Datin Marissa yang sudah menangis di sisi. Kasihan dia melihat keadaan isterinya itu.
Perfectly Halal! [Bab 21 & Bab 22]
4 years ago
0 comments:
Post a Comment