Friends

Antara mahligai ego dan cinta 1

Friday, 2 September 2011

Telefon Iphone di atas meja yang masih berdering itu sekadar diperhatinya. "Larra? Don't tell me it's your dad again" tegur satu suara membuatkan dia pantas menoleh ke arah Amanda yang sedang tergelak tidak jauh darinya. Dia mengeluh perlahan sebelum pantas mencapai telefon bimbitnya dan berjalan keluar menuju balkoni. Sudah beberapa kali papanya cuba menghubunginya sepanjang minggu itu.

"Assalamualaikum, papa"

"Waalaikumussalam. Kamu sengaja mengelak dari angkat call papa ya?" kedengaran suara papanya di hujung talian agak keras. Tubuhnya disandarkan ke dinding. Aduh, bukan sengaja tak nak angkat tapi aku buntu apabila sering disoal soalan yang sama.

Pangkal hidungnya dipicit perlahan cuba memikirkan alasan terbaik. "Sorry, papa. Larra.....Larra sibuk sikit" jawabnya. Aku tahu, tujuan papa telefon sebab nak pujuk aku balik semula ke Malaysia. Masih mengharap aku untuk mengambil alih syarikat. Padahal papa sendiri tahu, aku belum bersedia nak balik. Kedengaran satu keluhan berat dilepaskan di hujung talian.

"Busy ke, atau buat buat busy? Berapa lama lagi kamu nak teruskan hidup macam ni?"

"Papa tahu kan Larra tak sedia lagi nak balik sana" jawabnya lembut. Dia benar-benar berharap papa akan faham situasinya. Aku belum bersedia bertemu sesiapa dari masa silam. Kisah lampaunya masih menjadi igauan buruk baginya.

"Dah 9 tahun dah pun benda tu lepas. Baliklah Larra. Kalau bukan kamu, siapa lagi nak tolong papa uruskan syarikat ni?" pujuk papanya lagi namun sedikitpun tidak berjaya mengubah fikirannya. Hidupnya musnah kerana peristiwa itu.

"Larra belum bersedia lagi nak balik sana, papa. Tolonglah faham Larra” kata-katanya terhenti sejenak di situ sebelum menarik nafas panjang.

“Erm, Dah lewat dah ni. Larra nak masuk tidur dulu. Goodnight, pa” ujarnya sengaja memberi alasan untuk memutuskan talian.

"Wait, Larra! Sebelum tu ada hal yang papa nak beritahu kamu" ujar papanya membuatkan dia tidak jadi hendak memutuskan talian. Telefon itu kembali dilekapkan ke telinganya. "Hal apa?" soal Larra kembali.

"Mama sebenarnya sakit. Kalau Larra sayangkan mama, baliklah rumah. Jumpa dia". Bulat mata Larra mendengar berita itu. Jantungnya berdegup kencang. "Ma.. Mama sakit? Sakit apa, papa?" soalnya cemas.

"Kalau kamu masih kisah dan sayangkan mama. Kamu balik. Tengok sendiri keadaan mama. Papa tak nak cakap banyak. Sekarang terserahlah dekat kamu nak balik atau tak" ujar papanya membuatkan dia diamuk rasa serba salah. Fikirannya buntu. Dia tersepit antara keinginannya dan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Aku tak nak balik Malaysia, tapi mama perlukan aku dekat sana.


***

Langkahnya diatur kemas masuk ke balai ketibaan di kawasan lapangan terbang itu. Tersenyum sendiri. Ah, Malaysia. Dah lama aku tak tengok suasana macam ni. Rakyatnya terdiri dari pelbagai bangsa dan etnik namun masih mampu mengekalkan adat dan budaya masing-masing. Berkongsi negara dan hidup secara aman.

Dia memerhati sekeliling. Pak Mat yang sepatutnya menjemputnya masih belum muncul. Lalu dia membuat keputusan untuk berjalan-jalan di ruang sekitarnya dahulu. Tangannya menyentuh seketika rantai emas putih bersama loket yang tertera huruf awal namanya iaitu L dan A. Tersenyum sendiri.

Rantai itu merupakan hadiah dari mamanya. Memakai rantai itu membuatkan dia merasa dekat dengan mama


Syaheera tergamam seketika sebaik sahaja menangkap susuk tubuh gadis tinggi lampai yang kini sedang berjalan melepasinya. Wajah gadis itu benar-benar mengingatkannya pada seseorang. Dia pasti itu adalah gadis sama yang pernah dikenalinya dahulu. Langkahnya pantas diatur mengekori gadis itu yang kelihatannya masih leka. Telefon bimbit dari kocek seluarnya dikeluarkan sebelum beberapa gambar gadis itu diambil secara curi-curi olehnya. Tersenyum gembira dia menatap satu persatu gambar-gambar yang berjaya diambilnya. “Tak hairan kalau kau tak kenal aku. Tapi mana mungkin aku tak kenal kau, Elle”. Dia menaip sesuatu sebelum gambar itu pantas disebarkan melalui broadcast message kepada beberapa rakannya yang lain.

*She's back!! Guess who i just met by chance in KLIA. Still remember her?* Selesai menghantar gambar, dia memandang sekeliling. Kini dia sudah kehilangan jejak gadis itu. Tak kisahlah. Yang penting aku dah dapat gambar kau. Telefonnya berbunyi menandakan ada beberapa notification diterimanya.

Ridza Hazim : Is that Elle? The head of Stelesta, right? Perempuan dalam gambar tu nampak macam dia. Gorgeous as always. Tolong kirim salam dekat dia. Hehe

Adilah : Biar betul perempuan tu dah balik sini? Hahah! Memang gosip terhangat ni kalau budak-budak lain tahu. Tapi kau, aku nasihatkan jangan diri dekat-dekat dengan dia. She’s a devil!

Syazu : Elle? OMG! Tu dia kan?!! Takkanlah aku tak ingat. Dekat 4 tahun hidup aku dekat sekolah macam neraka sebab perempuan ni. Habislah kalau budak sekolah kita nampak gambar ni. Hahaha mesti kecoh!

Syaheera tersenyum membaca satu persatu mesej itu. Ternyata rakan-rakannya yang lain juga masih ingat dengan jelas tentang gadis itu. "Tak sangka jumpa kau lagi. Welcome back, Elle" ujarnya sambil memadamkan paparan pada skrin telefon bimbit dan mengorak langkah meninggalkan ruang itu.


***

Larra memakai kaca mata hitamnya sambil terus berjalan. Tidak mahu dirinya dikenali oleh sesiapa. Dia leka sejenak memerhati gelagat beberapa pasangan keluarga tidak jauh darinya sebelum tiba-tiba dia merasakan badannya dilanggar dengan kuat serentak membuatkan tubuhnya gagal dikawal dan terdorong ke belakang. Mujur ada tangan gagah lebih pantas menangkap pinggangnya. Menariknya untuk kembali berdiri. Dia kaget apabila menyedari tubuhnya ditarik oleh lelaki. Tidak pernah dia membenarkan mana-mana lelaki menyentuhnya sebelum ini. Apatah lagi, memeluk seperti lelaki itu tadi. Serta merta dia menjadi bengang sendiri.

"Cik? Are you okay?" kedengaran suara lelaki itu memecahkan lamunannya.

Tanpa memandang wajah lelaki itu, Larra mengangguk perlahan. "Yes, i'm okay" jawabnya sebelum mencapai bagasinya yang jatuh. Berkira-kira untuk meninggalkan lelaki itu. Langkahnya mula diatur ingin segera berlalu pergi. Dia benar-benar malu dengan kejadian tadi.

"You should say sorry" kedengaran suara lelaki itu keras menampar telinganya membuatkan langkah Larra terhenti. Dia berdiri tegak sebelum berpaling memandang lelaki itu. "At least thanks" sambung lelaki itu lagi.

Sindiran lelaki itu membuatkan darah merah menyerbu mukanya. Terasa membahang. "What do you mean?" soalnya. Wajah lelaki itu terlindung di sebalik rayban coklat yang di pakainya. Hanya segaris senyuman sinis dihadiahkan padanya membuatkan hatinya bertambah geram.

"What do you mean?” lelaki itu mengajuk soalannya sambil tergelak. “Cik dah langgar saya, Cik sepatutnya minta maaf. At least thanks sebab saya sempat tarik Cik dari terjatuh dan dimalukan depan orang. Ada mata tak nak guna. Ke, Cik ni jalan memang pakai lutut?" sambung lelaki itu membuatkan Larra semakin berang.

Pantas kaca mata hitam yang dipakainya ditanggalkan sebelum merenung tepat wajah lelaki itu. "Kalau awak tu jalan pakai mata dan bukan lutut, tak adalah awak langgar saya juga. By the way, Mr. Perfect. I’m sorry and thanks" balas Larra sedikit kuat sebelum berpaling dan berjalan laju meninggalkan lelaki itu. Berani benar lelaki itu memerlinya begitu. "Baru je balik sini, dah jumpa benda yang menyakitkan hati. Bajet macam kau bagus sangat. Aku pun tak nak lah langgar kau" ngomel Larra

Tengku Dzafril Haidhar tersenyum sendiri memandang gadis berbaju putih itu yang kian menjauh. Kelihatan seperti kata-katanya tadi berjaya membuatkan gadis itu marah. Memang sengaja dia berkata begitu. Melihat sikap dingin gadis itu yang ingin beredar begitu sahaja tanpa mempedulikannya membuatkan egonya sebagai lelaki tercabar.

“Perempuan macam tu patut diajar. Jangan sebab dia cantik, dia ingat boleh berlagak dengan aku” ujarnya sambil mengemaskan kot yang dipakainya. Seketika kemudian, pandangannya terpaku pada kemilau cahaya di lantai. Perlahan dia membongkokkan badannya bagi mencapai rantai emas putih itu sebelum membelek loketnya yang terukir huruf L dan A. Pantas dia mendongak mencari bayang gadis itu namun hampa. Dia kembali memandang rantai di tangannya itu.

"Rantai ni, perempuan tu punya ke?"


***

Lissa membelek jam tangannya yang sudah menunjukkan angka 3 petang. Namun bayang kekasihnya belum tiba. "Mana Zaf ni? Kata nak jemput awal" marahnya. Serentak bayangan perbualan antara dia dengan senior modelnya kembali bermain di fikirannya.

"Lissa pasti ke yang Zaf tu setia?" soal Kak Hanis. Lissa menoleh sebentar ke arah Kak Hanis sebelum tersenyum.

"Alah Kak. Lissa kenal Zaf tu lama dah. Memanglah ada dengar cerita-cerita tak sedap tu tapi Lissa yakin Zaf bukan macam tu" balas Lissa cuba mempertahankan kesetiaan lelaki itu padanya.

"Bukan tu je Lissa, sebenarnya akak nampak dengan mata kepala akak sendiri dia dengan perempuan lain Sabtu lepas. Gayanya tu macam bukan kawan. Mesra sangat. Akak pasti tu Zaf, boyfriend Lissa" balas Kak Hanis lagi cuba meyakinkan Lissa.

"Lissa percaya dia tak ada apa-apa dengan perempuan tu. Mungkin perempuan tu je yang lebih-lebih goda Zaf" ujar Lissa lagi.

Kak Hanis mengeluh perlahan sebelum duduk di sisinya. "Akak bukan apa Lissa. Akak cuma nak Lissa hati-hati je. Lelaki sekarang ni tak boleh percaya. Nak-nak lagi yang status anak VIP macam Zaf tu. Lagilah ramai perempuan tunggu peluang je nak sambar dia. Kalau memang Zaf tu betul setia dengan Lissa tak apalah. Akak doakan yang terbaik je buat Lissa"

"Khalissa!"

Kedengaran namanya dipanggil membuatkan lamunannya terhenti. Pantas dia menoleh. Dilihatnya Tengku Dzafril Haidhar sudah berada di hadapannya. “Lambat” balasnya pendek sebelum menarik wajah masam dan memalingkan wajahnya ke tempat lain.

"I tahulah i tak handsome, tapi janganlah palingkan muka you dari i macam tu. Dareena, I'm sorry" pujuk Tengku Dzafril Haidhar.

Dia mengerutkan dahinya sambil memandang lelaki itu. "You kata nak jemput i pukul berapa? You tengoklah jam sekarang pukul berapa? 3.40 dah" ujar Lissa.

"Alalaala. Comelnya muncung you. I bukan sengaja nak jemput you lambat tapi i ada meeting dengan bahagian marketing hotel tadi. Habis meeting je, i terus datang sini jumpa you" pujuk Tengku Dzafril Haidhar lagi. Lama dia memandang wajah bujur sirih milik Lissa dengan sepasang mata bulat dan hidung yang mancung. Pakej yang dimiliki teman wanitanya itu sememangnya mampu membuatkan mana-mana lelaki menoleh berkali-kali ke arahnya. Namun, kenapa sampai harini aku tak pernah punya perasaan sama seperti dia?

"You dengar tak apa i cakap ni, Zaf?!" soal Lissa sedikit kuat apabila melihat lelaki itu seolah mengelamun memandangnya.

"Ya.. Yes sayang i dengar. So you maafkan i ke tak ni?"

Lissa memandang lama lelaki itu sebelum mengeluh perlahan. "Boleh, dengan syarat you bawa i dinner malam ni" jawabnya selamba.

Tengku Dzafril Haidhar terkedu sejenak. Aduh, malam ni dah janji dengan Suzy. "Erk. Malam ni tak boleh sebab i kena tolong my dad. Malam esok pulak i busy satu hari. Kalau esok lusa boleh?" cadangnya. Berharap gadis itu akan bersetuju.

Berkerut dahinya memandang lelaki itu. "Busy memanjang je you ni. Ke, you nak bawa awek you yang lain?" Lissa sengaja menguji.

Berderau darahnya mendengar soalan gadis itu. E'eh, macam tahu-tahu je aku ada date lain. Pantas dia tersenyum cuba menyembunyikan rasa gusarnya. “Mana ada, Lissa. You kan tahu i setia dengan you je. Jadi, you okay ke tak ni kalau kita keluar esok lusa?" soal Tengku Dzafril Haidhar.

Dilihatnya Lissa mengangguk tanda setuju.


***

"Cik Larra?" panggil satu suara membuatkan dia pantas menoleh. Lelaki tua itu tersenyum sebelum berjalan ke arahnya. Lama dia cuba mengecam wajah tua itu. Setelah beberapa ketika dia pasti itu adalah Pak Mat, pemandu peribadinya dahulu.

"Pak Mat". Rambutnya sudah memutih dan kedutan di dahinya juga sudah semakin jelas membuatkan dia hampir tidak cam lelaki itu tadi. Ah, masa berlalu begitu pantas.

"Cik Larra. Maafkan Pak Mat sebab lambat jemput. Jalan sesak sikit tadi" terangnya sambil memandang sejenak wajah gadis itu sebelum tertunduk bimbang. Takut-takut dimarahi. Sepanjang dia berkhidmat dalam keluarga Dato’ Qamal, dia tahu gadis itu paling pantang sekiranya dijemput lambat.

Larra tersenyum. "Tak apa. Saya faham. Lagipun, saya baru je sampai ni. Nasib baik Pak Mat cam saya lagi" jawabnya.

Tercengang sejenak dia mendengar jawapan gadis itu. Semuanya terasa bagaikan mimpi.

Larra mengerutkan keningnya. Turut membalas pandangan Pak Mat. "Kenapa pandang saya macam tu?" soalnya hairan sambil tergelak kecil. Berasa sedikit kelakar dengan reaksi wajah Pak Mat. Nampak terkejut benar setelah mendengar jawapannya.

Cepat-cepat Pak Mat menggeleng sebelum tersengih sendiri setelah menyedari reaksinya yang pasti kelihatan aneh di kaca mata Larra. "Pak Mat pun was-was juga tadi masa nak tegur. Takut salah orang. Maklumlah, dah lama tak jumpa Cik. Cik pun dah makin cantik. Mari Cik" ujarnya sambil mencapai bagasi milik Larra. Mula mengorak langkah bagi membawa gadis itu pulang ke rumah.

Larra mengangguk perlahan. Tersenyum sambil turut mengikut langkah Pak Mat. Baginya tidak ada apa-apa pada pujian tersebut. Dia bukanlah jenis yang makan pujian. Pujilah dia macam mana melambung pun, dia tidak termakan dengan kata-kata tersebut. Kini kereta sudah bergerak keluar dari kawasan lapangan terbang. Larra leka memerhati pemandangan di luar. “Lain dah tempat ni kan, Pak Mat” ujarnya.

Pak Mat tersenyum. “9 tahun dah, Cik. Mana tak lainnya” balasnya sambil memandang gadis itu melalui cermin tengah.

"Erk, lagi satu. Boleh saya tahu tak mama saya sakit apa? Kelmarin saya call, mama cuma beritahu dia sakit. Dia tak nak cakap pun dia sakit apa. Pak Mat tahu mama sakit apa?" soalnya lagi membuatkan Pak Mat memandangnya hairan.

"Sakit? Sakit apa pula ni, Cik? Setahu Pak Mat, Datin tak sakit apa-apa pun". Jawapan Pak Mat membuatkan dia terdiam. Bukan ke, papa beritahu aku yang sekarang mama sakit? Tapi kenapa mama tak nak beritahu dia sakit apa? Yang peliknya, kalau betul mama sakit, mustahil Pak Mat langsung tak tahu. Bukan ke Pak Mat ni pemandu tetap keluarga dari dahulu. Pelbagai persoalan mulai bermain-main di fikirannya.

"Kenapa, Cik?"

"Err, tak ada apa-apa. Mungkin saya silap dengar kot" kalisnya sebelum pandangannya dilemparkan ke luar tingkap kereta memerhati pemandangan di sekitar Kuala Lumpur. Kelihatannya sudah banyak perubahan yang berlaku sepanjang ketiadaannya. Kota itu sudah membangun maju.

Pak Mat mencuri pandang ke arah Larra yang sedang leka melalui cermin tengah. Sememangnya gadis itu jelita. Wajahnya tampak lebih matang jika dibandingkan dengan 9 tahun lepas. Pasti masih menjadi pujaan ramai jejaka. Kalau dulu pun dia dah cukup terkenal dengan kecantikannya. Inikan lagi sekarang. Gadis itu mewarisi kecantikan mamanya. Bukan dia tidak tahu, anaknya Ali dalam diam juga pernah menaruh hati pada cik muda itu dahulu. Lelaki itu sering datang ke rumah Dato' Qamal dengan alasan untuk berjumpanya semata-mata ingin melihat Larra yang dijemputnya setiap hari dari sekolah.

Namun ada sesuatu yang lebih membingungkannya sejak kembali bertemu gadis itu. Larra kelihatannya telah berubah. Tiada lagi riak ego dalam tingkah lakunya. Tutur bicaranya juga lembut dan sopan. Cukup berbeza dengan diri gadis itu yang dahulu. Pantang salah sikit pasti dia dimaki cukup-cukup. Sudah kenyang dia menerima kata cercaan yang dihamburkan oleh Larra setiap kali dia silap. Masih segar lagi dalam ingatannya, peristiwa dia dimarahi gadis itu gara-gara dia lambat menjemput dari sekolah.

Setibanya di sekolah tengahari itu, Larra telahpun menunggunya dengan muka masam di hadapan pintu pagar. Anak manja majikannya itu memang pantang kalau dijemput lambat. "Kan saya dah cakap, saya tak suka orang jemput saya lambat!" tengking Larra membuatkan beberapa pelajar lain di situ mula menoleh ke arah mereka.

Pak Mat sedar dirinya yang dimarahi oleh Larra kini menjadi perhatian pelajar lain. Meski malu namun dia cuba bersabar. Apapun gadis itu anak majikannya. Dia sedar status dirinya hanyalah pemandu keluarga gadis itu sahaja. "Maaf Cik, tayar pancit jadi saya terpaksa tukar kereta nak ambil Cik" jawabnya.

"Pak Mat jangan bagi alasan ea. Lembap! Kalau dah tua tu, buat cara tua la! Ikutkan hati saya, saya memang tak nak Pak Mat kerja dengan saya. Buat kerja pun terhegeh-hegeh!" ujar Larra sebelum pantas berjalan masuk ke dalam kereta.

Bunyi hon dari kenderaan lain membuatkan dia tersedar kembali. Cepat-cepat dia menoleh ke arah Larra di tempat duduk belakang. Gadis itu telahpun tertidur. Dia menarik nafas lega sebelum kembali memandu. Kejadian hitam yang memaksa gadis itu melarikan diri keluar negara telah memberi kesan yang mendalam pada diri cik mudanya.






0 comments: